Followers

Suka tak blog nie???

Thursday 27 October 2011

Pesanan buat Adam dan Hawa

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah...


Dari Hawa untuk Adam

Susurilah coretan Hawa untuk Adam dan impian Adam untuk Hawa nya...

Adam ku...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmum. Aku adalah pengikut mu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, maka lalailah aku. Wahai Adam, kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akal mu sembilan, nafsu mu satu. Akal ku satu, nafsu ku beribu. Oleh itu, Adam, pimpinlah tangan ku kerana aku sering lalai dan lupa, sering tergelincir ditolak nafsu dan konco-konconya.

Adam ku...
Aku suka kalau kau mengimami solat ku pada setiap waktu. Akan ku aminkan doa mu agar kelak luas syurga ku. Lebih aku suka kalau kau bangunkan aku bertahajud bersama mu, agar nanti diberkati Ya Rabbi. Kenalkan aku pada majlis-majlis agama. Ajarilah aku Yassin dan memahami Al-Quran. Kau ajaklah aku mengalunkan jantung Kitabullah di malam Jumaat yang penuh barakah. Khabarkan pada ku tentang fardhu-fardhu yang patut aku tahu. Bimbinglah aku dengan amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Adam ku...
Ajarilah aku agar menjadi isteri mu yang solehah. Didiklah aku supaya menjadi permata di kaca lembah. Selimutkan aku dengan iman dan taqwa bekal ke jalan Allah. Ingatkan aku supaya hormat, tunduk dan patuh pada mu setiap waktu. Tolonglah aku Adam agar aku tidak beku. Bantulah aku agar otak ku tidak buntu. Selamatkanlah aku daripada seksa api neraka yang tidak tegar aku tanggung. Pimpimlah aku menuju Nur al-Jannah. Tarbiahlah aku supaya kelak aku calon serikandi solehah. Bantulah aku dalam menyemai sifat mahmudah. Moga aku dapat menjadi secerdik Aisyah Humairah Rasulullah, setulus hati dan kasih laksana Siti Khadijah, sezuhud dan sepatuh Rabi'atul Adawiyah, sekuat iman umpama taatnya hati Halimatus Sa'adiah dan segagah dan seteguh Nailah al-Farashiyah yang tegar meski tangan bermandi darah membela Khalifah Allah. Seindah hiasan adalah wanita solehah, moga aku hiasan terindah hidup mu Adam ku.

credit by Rusydee Artz

Bingkisan tulus dari Adam untuk Hawa... 

Hawa ku...
Meski aku Adam, gagah pada luaran, ada kalanya aku juga tewas dalam godaan. Walau aku pemimpin Khalifah bagi mu, aku juga selalu tersungkur kalah akibat nafsu. Nafsu ku satu, akal ku sembilan, namun yang satu itu sering menjadikan aku di luar kawalan, kadangkala aku juga tewas dalam lautan duniawi, lemas dalam dunia sendiri. Andai aku leka dan alpa, ingatkan aku untuk kembali pada-Nya, keran sesungguhnya di sebalik seorang lelaki, berdiri seorang wanita.

Hawa ku...
Walaupun aku durjana duniawi, aku juga impikan wanita solehah sebagai suri. Justeru, ingatkan aku agar tingkatkan ibadah, kelak aku bisa menjadi suami soleh. Ingatkan aku supaya selalu mengalunkan Kalamullah, agar dapat aku memandu mu ke syurga al-Jannah. Sedarkan aku agara mengejar keredhaan ar-Rahman, agar hidup ku sentias aman. Bangunkan aku bertahajud bersama mu, agar kelak rahmat-Nya tiada tandingan untuk ku. Aminkan doa bacaan ku, moga nanti luas syurga mu. Taat dan patuhilah aku, kelak solehah jadi milik mu.

Hawa ku...
Aku suka kau menutup aurat daripada pandangan buas durjana. Aku suka jika kau tidak sesuka hati menabur cinta duniawi sebaliknya kau titipkan buat zauj mu kelak. Aku suka jika bidadari sentiasa mengejar kebahagiaan ukhrawi. Aku suka kalau kau bersifat keibuan supaya kelak zuriat ku penuh dengan kesantunan mu. Aku lebih suka kata-kata mu berhemah kerana itu menunjukkan kau wanita berhemah. Aku suka jika kau pandai berdikari, agar kelak kau mampu berdiri sendiri. Lagi indah kalau kau berperibadi mulia, kerana itu sebaik-baik hiasan dunia. Aku suka kalau kau pandai menjaga maruah, agar harga diri mu tidak terlalu murah. Lebih elok jika kau mampu berfalsafah, kerana itu simbol mar'a fatonah. Peliharalah agama seperti mana aurat mu terjaga rapi, siramlah hati dengan taqwa, sebagai bekalan menghadap Yang Kuasa. Hiasi peribadi dengan sifat mahmudah. Agar kelak tidak dipandang lemah. Meski kau dicipta daripada rusuk ku yang bengkok, namun ada ketika tangan yang di sangka lembut menghayun buaian mampu menggoncang dunia mencipta sejarah. Oleh itu, ingatlah aku Adam mu yang sering leka dan alpa. Kelak Hawa ku ini bakal menghuni al-Firdausi.


"Moga impian anda semua untuk mencari cinta yang diredhai kan termakbul. Mudah-mudahan coretan ini sedikit sebanyak mengajar kita bermuhasabah diri dalam merebut sekeping hati seorang insan yang kita cintai. Insya-Allah sinaran cinta Ilahi yang dicari akan ditemui. Sematkan pesanan ini dalam hati agar kita saling ingat-mengingati, kebahagiaan hakiki akan dapat diraih."



No comments: